Followers

Saturday, December 4, 2010

Sepatu Balet Comel

KASUT balet Tiamo direka bagi memenuhi cita rasa wanita pada hari ini yang mahukan sepatu comel tetapi baik untuk kesihatan.

PENAMPILAN seseorang boleh berubah sekiranya mereka pandai memilih fesyen yang ingin digayakan. Begitu juga dengan stail pemakaian kasut.

Pastinya anda ingin menyesuaikan keseluruhan gaya untuk tampak anggun dengan pilihan sepatu yang tepat. Memilih sepatu balet, mungkin antara yang menarik jika anda bijak memilih kasut yang sesuai.

Bagaimanapun, kadangkala anda turut buntu untuk mencari butik yang dipenuhi dengan sepatu itu.

Kehadiran butik Tiamo bakal menyempurnakan hari peminat fesyen tanah air yang sekian lama inginkan aneka pilihan sepatu ala balet. Yang pasti, sepatu balet bukan sahaja baik untuk kesihatan tulang belakang wanita, bahkan memberikan penampilan unik dan lebih santai.

Dibuka di pusat beli-belah The Gardens, Mid Valley, jenama Tiamo mempunyai keistimewaan tersendiri apabila ia mengutamakan ciri-ciri yang diinginkan oleh setiap wanita.

Selain menerapkan aspek keselesaan, Tiamo turut mempelbagaikan warna yang lembut dan terang untuk sepatu rekaannya.

"Saya percaya warna kasut antara perkara penting yang diambil kira oleh golongan wanita. Untuk itu, di Tiamo anda boleh mendapatkan kasut yang mempunyai satu warna dan gabungan warna berlainan," beritahu pereka kasut koleksi Tiamo, Jung Eun Ju yang diterbangkan khas dari Korea.

Kasut balet yang dijual juga bukan sekadar sesuai untuk dipakai dengan imej ringkas bahkan, bagi anda yang berpesonaliti elegan turut dapat menjadikan seleksi sepatu itu sebagai koleksi peribadi.

"Fesyen boleh dipelbagaikan dengan cara sendiri asalkan kita yakin dengan gaya tersebut. Kasut balet Tiamo boleh dipakai dengan pelbagai fesyen sama ada seluar atau skirt," tambahnya.

Butik yang dimiliki oleh pasangan suami isteri dari Malaysia iaitu Lim See Toh dan Teo Ai Siong sengaja menempah kasut rekaan pereka tersebut semata-mata ingin menyediakan kelainan fesyen kepada wanita.

TIAMO membawakan aura gaya fesyen Korea dan Jepun dalam rekaan kasut baletnya.

Keseluruhan rekaan kasut Tiamo berinspirasikan trend Korea dan Jepun. Jadi, sudah tentu golongan wanita akan tertarik dengan koleksi Tiamo memandangkan fesyen kedua-dua buah negara itu sentiasa mendapat trendy.

Pelanggan boleh mencuba seberapa banyak kasut yang terdiri daripada rekaan mengikut kategori seperti Young Hippie, Modern Classic, Dressy Elegant, Celebrity Glam dan Mum & Daughter.

Sementara itu, Tiamo juga mengamalkan proses pemanasan kasut sebelum ia siap sepenuhnya. Alasannya ialah bagi mengekalkan struktur pembuatannya sekali gus dapat disimpan lebih lama.

Tarikan lain yang terdapat di butik itu ialah aksesori sepatu. Ini kerana Tiamo turut menawarkan beberapa pilihan rekaan klip kasut seperti bunga dan reben.

Lebih menyerlah lagi penampilan anda, apabila memilih klip kasut yang mempunyai kilauan manik atau mutiara putih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...